Khamis, 4 April 2013

SEKITAR PERTANDINGAN MSSD BOLA BALING 2013






ARTIKEL MOTIVASI: INDAHNYA TAWAKKAL

Artikel Motivasi: Indahnya Tawakkal


❖ Apabila iman meninggi, berbuat dosa kecil pun sudah membuatkan diri menangis  ❖
بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِاارَّحِيم
In the name of Allah, the Most Gracious and the Most Merciful
Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad
السلام عليكم


"Tak perlulah kau study sangat. Serahkan pada Allah je. Mesti score A punya,"

"Ish kau ingat dengan doa-doa semua tu, kau boleh dapat apa kau nak? Kau kena usaha la beb. Tak doa pun takpe. Kau usaha, gerenti kau dapat!,"

Dua situasi berbeza namun cukup berkait rapat. Situasi pertama adalah tanggapan "serahkan saja semuanya pada Allah dan kita tak perlu buat apa-apa" dan keduanya pula, terlalu yakin dan angkuh dengan kekuatan dalam diri.

Elemen apakah yang berkait rapat antara keduanya? Situasi pertama menyalahkan gunakan elemen itu sedangkan situasi kedua pula, menidakkannya pula. Dan elemen itu adalah tawakkal.

APA ITU TAWAKKAL


Tawakkal itu bersandar hati pada Allah, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya kepada Allah semata-mata.

Sabda Rasulullah SAW "Jika kamu semua bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah akan memberi kamu semua rezeki, sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang terbang tinggi dari sarangnya pada waktu pagi dengan perut kosong, lalu pulang dengan perut kenyang sewaktu petang," (HR Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah & Hakim)

Kalau dirimu benar-benar meyakini bahawa Allah itulah yang memberi, pastinya hati tiada lagi resah gelisah. Tiada lagi gundah gulana. Berusaha dan kemudiannya serahkan padaNya!

AKU PASRAH!

"Aku pasrah. Aku dah tak kisah apa yang berlaku dalam hidup aku. Kalau jadi, jadilah," terdengar pula rintihan begini.

Adakah pasrah itu sama dengan tawakkal? Adakah dengan meletakkan semuanya pada Allah tanpa usaha sedikitpun itu termasuk dalam tawakkal juga?

Tidak. Tidak sama sekali. Imam Ahmad r.a. mengatakan bahawa tidak ada isyarat dalam hadis yang membenarkan kita meninggalkan usaha sama sekali. Sedangkan burung itupun perlu keluar dari sarangnya untuk mencari makan dan kerana itulah perutnya kenyang terisi!


Dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa Ali bin Abi Talib mendapati orang sedang berkumpul di masjid dan bertasbih. Ali bertanya kepada mereka - Apa yang kamu semua lakukan?

Mereka menjawab - Kami sedang bertawakkal kepada Allah...

Lantas Ali membantah kata-kata mereka - Tidak. Kamu semua sedang menunggu datangnya makanan. Jika kamu semua termasuk orang yang bertawakal, maka kamu semua akan memahami maksud tawakal yang sebenarnya.

Mereka pula menjawab - Apabila kami menemui sesuatu yang dapat dimakan, maka kami akan memakannya. Jika tidak ada, maka kami tidak akan memakan apa pun..

Mendengar kata-kata mereka, Ali menjawab - Perbuatan seperti itu juga dilakukan oleh anjing.

Manakan bisa rezeki itu sampai tanpa usaha? Dan adakah adil mahukan Allah memberi segalanya sedangkan  si empunya badan berehat-rehat dengan tenaga yang masih banyak?

Fahami bahawa tawakkal itu bukan pasrah. Jangan sesekali menyamakan keduanya.

IINDAHNYA TAWAKAL


Adakalanya manusia lebih suka bergantung pada usahanya sendiri. Mahu berusaha habis-habisan namun lupa pula meminta pada yang Esa.

Ada yang dapat, malah ada kalanya dia dapat lebih banyak dari mereka yang meminta-minta dari Allah.

Kenapa ya? Yang meminta dari Allah itu bersedih pula. Jangan begitu. Adakalanya yang dapat lebih banyak sedangkan dia melupai Allah - boleh jadi itu istidraj.

Walaupun dia dapat dengan banyaknya, boleh jadi pula hati dan jiwanya kosong. Hati dan jiwanya sempit. Hati dan jiwanya lohong, kerana tidak diisi dengan kasih sayang dari Ilahi.


Bila hati tidak diisi dengan cinta Ilahi, maka banyaklah ketidaktenangan menyinggah. Kekayaan berjuta-juta, kekayaan pula bertimbun banyaknya, namun hati tetap bersedih. Boleh jadi hati dan jiwa terasa sempit.

Lain pula dengan mereka yang berusaha dan kemudiannya berdoa, bertawakal pada Allah. Apabila Allah mengurniakan banyak sekali nikmatNya, tiadalah yang terlafaz melainkan - alhamdulillah. alhamdulillah. alhamdulillah.

Dan adakalanya  walau dapat sedikit, namun hatinya tetap akan terhibur. Mengapa ya? Kerana yang sedikit itu pun dia sudah merasa cukup. Dengan yang sedikit itupun dia sudah merasa berkat. Dengan yang sedikit itupun dia sudah dapat merasakan cinta Ilahi!

Jadi mengapa mahu berpaling dari tawakkal? Mengapa mahu hanya bergantung pada usaha sendiri dan menidakkan pertolongan dari Ilahi? Ketahuilah tanpa pertolonganNya, seseorang manusia itu tidak boleh memperoleh apa-apa.

Amat menghairankan apabila ada yang menidakkan kekuasaanNya. Cuba fikirkan sejenak. Setiap saat ada sahaja bayi yang baru dilahirkan. Adakah bayi yang meminta dilahirkan? Adakah bayi yang memberitahu pada doktor dan bidan bila waktunya dia mahu dilahirkan? Tidak bukan?

Dan kalau manusia itu sangatlah hebat hinggakan tidak bergantung pada Allah sedikitpun, cubalah menahan beberapa bulan lagi sehingga bayi itu dilahirkan sesuai dengan kehendak diri. Tidakpun, teruskan saja lahirkan anak walau tidak cukup bulan dan jadikanlah bayi itu sihat sesihatnya tanpa sebarang simptom bayi pramatang. Bolehkah?


Dan cubalah pula manusia menahan kematian. Di saat nyawa sudah sampai ke kerongkong, cubalah dia menahannya. Cubalah kekalkan nyawanya sehingga tiba waktunya dia ingin mati. Bolehkah? Kalaulah perkara itu boleh, sudah pasti ada lagi mereka yang beribu tahun umurnya hidup bersama kita.

Itu semua menandakan ada kuasa yang tersangat hebat yang mengawal seluruh alam. Dia itulah Tuhan. Dia itulah Allah. Jadi mengapa mahu menidakkan pertolonganNya?

Maka rendahkanlah dirimu dan mohonlah pertolonganNya setelah puas dirimu berusaha. Kalau Allah perkenankan, pasti satu dunia inipun boleh jadi milikmu.


"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya, Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu," - Al Talaq ayat 3

- Sesungguhnya tawakkal kepada Allah itu perlu diiringi dengan usaha & doa -